Sunday, September 27, 2009

Sambutan Hari Kekasih Salah Di Sisi Islam oleh Mohd Hariri bin Haji Mohamad Daud (Panel Penulis Luar Jakim), Majalah Cahaya keluaran Februari 2009.

Sambutan Hari Kekasih Salah Di Sisi Islam

Oleh Mohd Hariri Bin Haji Mohamad Daud, (Panel Penulis Luar Jakim), Majalah Cahaya keluaran Februari 2009.

Tarikh 14 Februari setiap tahun menjadi tarikh yang ditunggu-tunggu oleh pasangan bercinta sebagai hari untuk memperingati dan meluahkan cinta sejati kononnya kepada pasangan masing-masing. Amalan songsang seperti ini sudah menjadi taqwim tahunan remaja dan semestinya penganut agama Kristian. Lantas, remaja Islam di Malaysia diseru agar tidak terpengaruh dan meraikan sambutan Hari Kekasih (Valentine Day) yang disambut pada 14 Februari ini. Sudah jelas bahawa sambutan Hari Kekasih ini salah di sisi agama Islam dan bercanggah dengan aqidah Islam itu sendiri.

Perbuatan untuk meraikan sambutan Hari Kekasih amat bercanggah dengan syara’ kerana ianya mempunyai unsur kepercayaan agama kristian dan menjurus kepada kebobrokkan akhlak. Selain itu, sambutan yang tidak berfaedah ini dirai dengan penuh adegan maksiat seperti berdua-duaan, berpeleseran hatta membawa kepada perbuatan seks bebas. Hari yang dianggap “hari berbulan madu” bagi remaja sehingga mereka sanggup menggadaikan maruah demi membuktikan cinta mereka kepada kekasih masing-masing. Sesungguhnya budaya meniru budaya barat yang terpesong dan mencampurkan perkara aqidah mengikut kepercayaan agama lain adalah salah di sisi Islam.

Dalam erti lain umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah dan peribadatan agama Islam dengan akidah dan peribadatan agama lain. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud “Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.” (Surah Al-Kafirun ayat 1-6 )

Nabi SAW dengan tegas telah melarang kita daripada meniru budaya Yahudi dan Nasrani dalam hadis yang bermaksud, “Nescaya kamu akan turut jejak langkah mereka (Yahudi dan Nasrani ) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga kamu akan turuti mereka walaupun mereka masuk ke dalam lubang biawak. Lantaran sahabat bertanya: Adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Baginda menjawab: Siapa lagi kalau bukan mereka.”

Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah menyatakan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 1/2006 pada 21 Februari 2006 telah memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam”.

Para mufti di Malaysia juga telah bersepakat untuk memutuskan bahawa amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam seperti yang dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 yang lalu.

Melalui sejarah Valentine, jelas ianya dapat disabitkan dengan budaya Kristian yang menyatakan Valentine’s Day bermula dari kematian tragis seorang Paderi yang bernama St. Valentine yang dibunuh oleh seorang Raja Romawi yang bernama Raja Claudius pada II (268-270M ).

Bermula dari kisah ini mereka telah mengabdikan St. Valentine sebagai seorang tokoh yang hebat dalam mempertahankan cinta dan dianggap sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup. Maka, 14 Februari dijadikan sebagai hari perlambangan dalam memperingati kematian St.Valentine dan dianggap sebagai upacara keagamaan masyarakat Kristian.

Justeru, Islam menyeru seluruh umat Islam khususnya remaja-remaja Islam agar tidak meraikan sambutan Hari Kekasih dan menghindari perkara-perkara yang boleh membawa kepada sikap untuk meraikannya. Berikut adalah sikap-sikap yang perlu dihindari oleh remaja Islam pada Hari Kekasih :

1- Sikap untuk keluar berfoya-foya sesama kekasih dan mengadakan majlis untuk menyambut hari tersebut dengan mengadakan parti atau majlis seumpamanya.

2- Menghantar kad-kad ucapan yang tertera kata-kata Valentine Day dan pada kad-kad tersebut terdapat gambar pari-pari yang mempunyai dua sayap yang menjadi simbol kepercayaan agama kristian.

3- Menulis ucapan kata-kata cinta di dalam kad yang diutuskan dengan menyatakan keinginan cinta kepada kekasih kerana ianya juga sikap mempamerkan rasa gembira dan percaya akan hari tersebut.

4- Kebanyakan negara-negara Barat, parti-parti diadakan sempena hari tersebut disambut dengan pesta seks dan tari-menari. Kebanyakan mereka menghantar hadiah-hadiah seperti bunga ros dan sekotak coklat kepada sesiapa yang mereka cintai.

5- Menghantar pesanan ringkas (SMS) kepada kekasih untuk meluahkan rasa sayang bersempena dengan Hari memperingati kekasih (Valentine Day) sebagai tanda percaya akan “keajaiban” hari tersebut.

Namun, segelintir pihak sanggup menaja majlis sambutan Hari Kekasih dan menjual barang-barang cenderahati untuk mempengaruhi remaja memperingati hari tersebut sehingga mengheret ke lembah makisat. Ironinya, remaja menganggap sambutan ini sebagai simbol kecintaan dan kasih sayang yang tidak berbelah bagi kepada pasangan. Islam melarang umatnya berlebih-lebihan dalam bercinta sehinggakan sanggup menyerahkan maruah kepada pasangan yang dicintainya.

Sesungguhnya perbuatan ini juga bercanggah dengan syara’ kerana ianya juga menyumbang berlakunya perkara maksiat dan zina. Firman-Nya:Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang membawa kepada kerosakan.” 9Surah Al-Isra’ ;32)

Ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting untuk mengawasi anak-anak mereka agar tidak meraikan hari tersebut dan melalukan perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat. Selain itu, pihak pentadbiran sekolah dan institusi pengajian tinggi juga agar lebih proaktif untuk memastikan tidak wujud program sambutan kepada hari tersebut serta aktiviti bertukar-tukar bunga ros, kad-kad ucapan dan sebagainya.

Secara kesimpulannya, Islam memberi garis panduan yang jelas dan membenarkan hubungan kasih sayang sesama manusia dalam kerangka syariat. Hubungan kasih sayang kepada ibu bapa, sahabat dan sesama masyarakat boleh dilakukan setiap hari dan tujuh golongan manusia yang akan mendapat lindungan `Arasy ialah salah satunya mereka yang berkasih sayang ( bertemu dan berpisah ) kerana Allah SWT.

Firman Allah SWT : 'Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja) dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal.' Surah al-Ghaafir: 39


Wednesday, September 16, 2009

Ribut Salji Di Tashkent..


"RAYA ni saya balik. Ya... saya balik... mak tunggu. Lagi empat hari... ya… mak... mak… isshhh!”

Sayup-sayup Ann mendengar suara emak menjawab ya. Tapi, Ann hanya mendengar emak menyebut ya berkali-kali dan selebihnya, Ann tidak mendengar apa-apa lagi. Talian jadi sangat bising tiba-tiba dan akhirnya terputus.

Ann mendongak ke langit. Ada helikopter palang merah antarabangsa merentasi awan, mengganggu transmisi. Telefon satelit Ann genggam kuat, hati marah benar. Sukarnya untuk berhubung pada waktu-waktu begini.

Ann mengatur langkah masuk ke bangunan tiga tingkat di tengah Tashkent. Bangunan ini menjadi ibu pejabat Pertubuhan Islam Antarabangsa. Tingkat satu menjadi lokasi memberi bantuan perubatan dan makanan, tingkat dua menjadi gudang menyimpan stok makanan dan ubat-ubatan dan tingkat tiga menampung lebih 20 sukarelawan.

Bilik Ann di tingkat tiga paling kanan. Di tepinya ada pokok tua yang agam. Pokoknya sudah kehilangan daun dan dibalut putih salji yang tebal.

Ya, salji tebal sejak semalam. Musim dingin ini baru bermula. Namun, sudah dua kali Ann tidak dapat lena kerana ribut salji. Kalau dibanding taufan Ike atau Katrina, ribut salji yang ini bukanlah apa-apa. Sekurang-kurangnya, pihak kaji cuaca belum mengisytiharkan darurat.

[salj4-sya.jpg]
Gambar hiasan

Namun, Ann terganggu benar dengan bunyi angin yang kuat. Ann terasa seluruh Tashkent ini seakan runtuh, seperti mana ia sudah pun runtuh selama dalam cengkaman Kesatuan Soviet.

Hari sudah cerah, sudah jam 7 pagi dan Ann masih belum
bersahur. Sejak ribut salji melanda jam tiga pagi tadi, sejak Ann tersentak daripada mimpi jam tiga pagi tadi, Ann tidak boleh menyambung tidur hingga kini.

Anehnya Ann juga tidak berselera makan. Sisa sup
berbuka tadi sudah dipanaskan dan roti sudah dipotong-potong kecil. Tapi Ann hanya memandang, selera tidak bangkit. Sebaliknya, ingatan menjurus-jurus pada sambal ikan bilis bercampur tempe dan acar buah yang kerap emak hidangkan waktu bersahur.

Ingatan itu rupanya membunuh selera Ann!

Kelmarin juga Ann tidak bersahur. Hanya minum segelas susu. Perut seakan masih sendat dengan makanan tradisional Uzbekistan pilav, nasi dengan daging goreng, lobak merah dan bawang merah bercampur kismis dan kacang pea yang Ann nikmati waktu berbuka puasa.

“Teruja hendak balik kampung, sampai tak nak makan,” Dr Landau, sukarelawan dari Perancis selalu mengusik. Ann sengih. Bukan dia sengaja, tetapi sungguh dia tidak berselera untuk makan.

Setiap kali mengingatkan
1 Syawal yang bakal dirai di kampung halaman, dadanya bergetar kuat menahan keterujaan. Setiap kali memandang beg pakaian yang sudah siap dikemaskan, dadanya berdebar hebat dan setiap kali mencium-cium tiket penerbangan yang akan membawanya pulang, jantungnya seakan berhenti berdegup. Gembira, dia terlalu gembira.

Malah sejak seminggu lalu, Ann bukan saja sudah mengemas pakaian yang akan dibawa pulang, tapi sudah juga mengemas gambar-gambar yang akan ditunjukkan pada saudara mara. Untuk emak, Ann sudah bungkuskan selendang panjang tenunan Uzbekistan yang cantik.

Pada perbualan minggu lalu dengan emak Ann sudah berpesan,
lemang dan rendang kita bakar sama-sama malam sebelum raya. Ann mahu sama-sama menebang buluh, membersihkannya, mengukur kelapa, memerah santan, memasukkan pulut dalam buluh dan membakarnya. Ann juga ingin mengait daun kelapa, mahu menjalinkannya menjadi sarung ketupat yang cantik beranyam.

Ann tersengih sendiri. Waktu ini terasa hanya jasad saja berada di bumi Uzbekistan yang muram
Ramadannya dan gersang Aidilfitrinya. Seluruh jiwa seakan sudah lama terbang menyeberang laut, kembali dalam dakapan emak.

Di luar, ada perbualan dalam bahasa Turki dan Inggeris, yang diselang seli gelak ketawa singgah di telinga. Ada bunyi ngauman enjin juga kuat memecah pagi Ann bangun meninjau.

Dari jendela Ann lihat ada sukarelawan yang memandu jentera penyodok salji, membuka jalan yang tersekat. Ada sukarelawan yang mengalihkan ranting dan dahan pokok yang bersepah kawasan persekitaran. Ann menyentap baju panas dalam almari dan turun menyertai mereka.

Tashkent selepas bebas daripada Kesatuan Soviet bukanlah seindah dijangka. Walaupun sudah merdeka, kerana terlalu lama dicengkam komunisme, menjadikan bukan saja Tashkent, tetapi seluruh Uzbekistan ini jauh daripada penghayatan dan kefahaman tentang Islam.

“Kamu ini aneh, orang mahu kerja pejabat hawa dingin dan gaji ribuan ringgit, kamu hendak jadi sukarelawan,”

Ya, waktu kawan-kawan sekursus memilih menjadi ahli ekonomi atau berkhidmat di bank-bank perdagangan sebaik tamat pengajian, Ann memilih ke Tashkent. Seluruh keluarga menjerit membantah, malah kekasih hati yang berjanji sehidup semati juga meninggalkan Ann kerana Ann mahu ke Tashkent.

Namun, waktu orang lain tidak pun memberi sokongan, emak mewajarkan pilihan Ann menyumbang bakti di Uzbekistan.

“Siapa lagi yang mahu memulihkan jati diri saudara seagama kalau bukan kita sendiri? Mahu terus Uzbekistan hanyut? Sudah lama dicengkam Soviet, sekarang sudah merdeka, apa salah kita tolong? Tak banyak, sikit pun, sekadar ajar anak-anak mereka mengenal huruf alif, ba dan ta, dan mengakui Tuhan itu satu pun, sudah bermakna,”

“Tapi emak, Ann itu perempuan. Ha, kau hendak pergi berapa tahun? Sanggup kau tinggalkan emak sendiri? Nanti sanggup kau hendak berhari raya dengan orang Uzbekistan. Menangislah seorang diri. Elok-elok duduk di Malaysia, hendak pergi negara lepas perang,” abang tidak penat melemahkan semangat.

Ann masih ingat renungan mata emak tepat dalam mata bundar abang. Merenung mata itu, Ann dapat menyingkap seluruh amarah yang emak simpan.

“Emak boleh membesarkan kamu semua sendirian selepas ayah kamu meninggal waktu Ann dalam pantang. Emak masih boleh hidup tenang dan kuat. Adakah kamu fikir Ann tidak mewarisi kekuatan emak? Lagi pun, Aidilfitri itu akan lebih bermakna, jika kita bijak memaknakannya, tidak kira kita di mana,”

Abang dan kakak terdiam. Abang ipar dan kakak ipar tergamam. Walau mereka mengomel di belakang, Ann berangkat juga ke Tashkent, dua bulan selepas itu atas restu emak.

Dan, jangkaan emak benar-benar menyambut Ann di Tashkent. Jangkaan tentang Islam yang suram di Uzbekistan. Jangkaan tentang Islam yang kurang penghayatannya di negara Asia Tengah itu.

Sejak kecil, emak sangat terpesona dengan kisah Laluan Sutera yang merentas Uzbekistan di Tashkent, Bukhara dan Samarkand. Kata emak, kegemilangan Islam di Uzbekistan dulu, dalam kelas tersendiri. Di situ, lahirnya dua tokoh Islam masyhur,
al-Khawarizmi dan Abu Rayan Muhammad ibn Ahmad al-Biruni.

Namun, semua kegemilangan Uzbekistan itu terpadam sebaik dicengkam kuat Kesatuan Soviet. Masyarakat mengenal al- Khawarizmi dan al-Biruni tanpa mengenal Uzbekistan. Ann seakan-akan terdengar emak bercerita. Emak, seorang guru sejarah tingkatan enam di sekolah berhampiran rumah.

Lalu, ketika Ann melahirkan hasrat menyertai Pertubuhan Islam Antarabangsa sebagai sukarelawan di Tashkent, Uzbekistan, emak mewajarkan walau hampir seluruh keluarga membangkang. Kata emak, walau tubuhnya tidak sampai ke Tashkent, jiwa emak sudah ada di sana melalui kamu, kamu Ann.

Lalu Ann tahu, pemergian ke Tashkent sebenarnya bukan saja membawa dirinya sendiri dan amanat seluruh umat Islam yang mahu melihat Uzbekistan bangun dan menghidupkan kembali kegemilangan lalunya, tetapi jua membawa hasrat dan jiwa emak yang terlalu lama berahi pada sejarah kehebatan Uzbekistan.

Sejarah Asia Tengah di bawah Kesatuan Soviet adalah sejarah penuh eksploitasi, kerap emak mengulang-ulang ayat itu. Malah seingat Ann, emak pernah bercerita, Stalin yang takut dengan kuasa minoriti di Kesatuan Soviet menghimpunkan pelbagai etnik di Uzbekistan untuk melemahkan dan menekan populasi asal. Stalin juga mahu Uzbekistan bergantung secara ekonominya dengan Russia.

Ann menghirup udara Tashkent sebaik saja Uzbekistan bebas daripada Kesatuan Soviet. Awalnya, Ann tidak tahu apa-apa tentang Uzbekistan. Ann hanya tahu tentang Uzbekistan daripada kisah-kisah yang emak khabarkan dan serba sedikit pembacaan. Justeru, Ann kurang bijak meneka percaturan politik di Uzbekistan. Seingat Ann, dia ada menulis surat kepada emak tiga bulan selepas sampai di Tashkent.

Mak,

Saya tidak faham percaturan politik di sini. Waktu kita berlumba-lumba datang menabur bakti di negaranya, mereka berlumba-lumba pula menjadi hero.

Selepas bebas daripada Kesatuan Soviet, Uzbekistan menggubal perundangan baru, tetapi mengharamkan parti pembangkang utamanya, Birlik. Bebas daripada kesatuan Soviet juga tidak bermakna mereka bersatu hati, sebaliknya semakin banyak pula siri keganasan pada kumpulan yang dituduh pelampau Islam.

Mungkin 70 tahun dicengkam komunisme, mereka gagal membezakan antara agama dan budaya. Jadi, semua penganut Islam yang mahu kembali pada amalan agama, bertudung, menyimpan jambang dan berjubah itu dianggap pelampau agama.

Tapi surat itu tidak emak balas, entah mengapa.

Salji tebal di hadapan bangunan sudah habis disodok. Beberapa sukarelawan bersiap dengan pikap, bersedia untuk masuk ke kampung-kampung kecil di utara Tashkent. Malam ini mereka mahu berkampung di sana, berbuka puasa dengan penduduknya dan bersolat tarawih. Ann juga akan mengikut.

Tiga tahun di Tashkent, sudah tiga Aidilfitri Ann raikan di sini. Aidilfitri yang gersang dan suram. Cukuplah, tahun ini, Ann akan pulang. Ann tidak rela meraikan Aidilfitri tanpa perasaan. Perasaan kasih dan sayang sesama insan. Ann akan pulang empat hari lagi sebenarnya. Aidilfitri bakal menjelang 1 Oktober nanti, Ann akan pulang 29 September nanti.

Tidak sabar rasanya mahu menikmati
lemang dan rendang. Tidak sabar rasanya mencium tangan emak. Terbayang-bayang Kuala Lumpur, terasa-rasa hentakan punggung di kerusi pesawat waktu kapal terbang mendarat. Ann tersengih pada setiap ingatan-ingatan itu. Oh... Tashkent... aku tidak rindu padamu Aidilfitri nanti, Ann tersengih sendiri.

Di sini, Aidilfitri dan Ramadan seakan tiada maknanya. Pada mereka, ia hanya sahur, berbuka puasa dan solat sunat Aidilfitri. Tiada kunjung mengunjung tiada maaf bermaafan. Semuanya kering dan kontang. Tiada rasa dan waktu-waktu begitu, tiba-tiba Ann jadi terlalu nostalgia dan melankolik pula, teringat beratur panjang, menanti giliran mencium tangan emak di pagi Aidilfitri.

Ann masih ingat Aidilfitri pertama di sini, solat sunat raya berlangsung sebaik selesai solat Subuh kerana kebanyakan mereka pengikut mazhab Hanafi. Ann terkejut dan tentunya nyaris terlepas kenikmatan solat sunat raya!

“Kami meraikan Navrus pada 1 Januari, musim bunga pertama bukan Aidilfitri,” kata-kata itu datang daripada seorang warga tempatan, Ana Karimov.

Ann meminjamkan telinga untuk Ana Karimov bercerita tentang keistimewaan Navrus. Ann tidak berminat untuk berdebat mengenai keistimewaan Aidilfitri dengannya. Biarlah, dia masih terlalu hijau dalam mengenal keistimewaan Ramadan dan Syawal. Ann maafkan dia, atas alasan terkurung selama 70 tahun dalam Soviet.

Kenderaan pikap yang akan membawa Ann dan enam sukarelawan yang lain ke utara Tashkent sudah penuh dengan muatan. Tapi waktu hendak bertolak, angin bertiup dengan kencang.

“Ribut salji!,” Ann panik.

1 Oktober

Mak,

Selepas tiga tahun tidak pulang raya bersama dan kali ini saya gagal lagi untuk menunaikan janji. Ketahuilah mak hati saya tidak pernah tenang. Doa saya untuk mengucup tangan emak pada pagi Aidilfitri tidak tertunai jua.

Seperti emak kata, Tuhan berikan apa yang kita perlu bukan apa yang kita mahu. Saya terima semuanya mak, walau dalam linang air mata.

Penerbangan keluar masuk di Lapangan Terbang Tashkent dibatalkan sejak dua hari lalu. Kata mereka mungkin dalam tiga atau empat hari nanti ia akan pulih. Apabila sudah terlalu lama berada dalam dakap Soviet, waktu-waktu nanar begini, mencari-cari jalan keluar sendiri, memang memakan masa. Saya maafkan mereka kerana ribut salji ini kehendak Tuhan jua adanya. Walaupun saya masih terkial-kial memaafkan diri sendiri kerana gagal mengotakan janji bersama emak pada Aidilfitri.

Sejak, dua hari lalu ribut salji belum berhenti. Malah anginnya makin kencang, melebihi dua kali ganda taufan.

Mak, saya tidak tahu bilakah surat ini akan tiba ke pangkuan emak. Saya hanya menulis dan menulis meluahkan seluruh gundah dan segala resah. Buat masa ini, sistem pengangkutan dan komunikasi di Tashkent lumpuh sama sekali. Bekalan elektrik sudah dua hari terputus. Salji tebal di Tashkent sudah menjadi ais setebal dua meter.

Kelmarin perintah berkurung dan darurat diisytiharkan. Tetapi saya dan beberapa sukarelawan lain mengikut pasukan tentera memberi pertolongan kepada penduduk di kawasan pedalaman .

Waktu-waktu sukar begini, saya menyaksikan sudah ramai yang tahu untung nasib perlu diadukan kepada Allah yang berkuasa. Saya melihat darurat dan perintah berkurung tidak menghalang mereka membanjiri masjid dan muazin melaungkan azan.

Waktu
takbir bergema di langit Tashkent yang diserkup salji, saya terasa satu kenikmatan yang sukar diceritakan dengan kata-kata menusuk dalam hati. Ia sangat indah, melebihi keindahan percikan warna warni bunga api yang menghias gelap langit. Ia kemudiannya bagai api, memanaskan hati setiap warga Tashkent, mencairkan perasaan yang beku lewat makna Aidilfitri.

Untuk pertama kalinya emak, saya terasa sangat teruja solat sunat Aidilfitri sebaik tamat solat Subuh. Sejuk yang menikam, salji yang tebal, angin yang kencang tidak sedikitpun mematahkan semangat Muslim di sini berhari raya.

Terkurung dalam masjid sementara menanti kenderaan tentera membawa kami pulang ke kediaman masing-masing. Kami sempat bersalam-salaman dan bermaaf-maafan. Kami sempat berdakapan sesama Muslimah, menangisi pemergian Ramadan. Kami sempat menjamah roti, sup dan pilav.

Entah mengapa kali ini saya merasakan Aidilfitri di Tashkent sungguh menyentuh hati. Ia membakar seluruh kerinduan saya pada kampung halaman. Walau langit Tashkent mendung dan buminya tebal bersalji, ada magis dalam setiap hati kami. Seperti emak percaya, saya juga kini percaya, Aidilfitri itu akan lebih bermakna jika kita bijak memaknakannya.

Emak, terima kasih kerana mewajarkan saya ke sini, empat tahun lalu.

Sunday, September 13, 2009

Kehausan Ibn Abbas Terhadap Ilmu Pengetahuan

Abdullah ibn Abbas telah menceritakan bahawa beliau dan seorang sahabat daripada kaum Ansar berbual mengenai pencarian ilmu selepas kewafatan baginda SAW daripada pengikutnya yang masih hidup, namun sahabat tersebut memberikan jawapan yang kurang memberansangkan:

“ Aku masih belum merasa hampa. Aku memulai pertanyaanku mengenai ilmu pengetahuan. Aku telah menghampiri setiap orang yang kusangka telah mendengar sesuatu daripada Rasulullah SAW. Akhirnya aku berjaya memperolehi sebilangan besar kutipanku mengenai hukum-hakam daripada orang-orang Ansar. Sekiranya aku dapati salah seorang daripada para sahabat itu sedang tidur tatkala aku menziarahi mereka, aku hamparkan kain serbanku di pintu-pintu pagar rumah mereka ; duduk sambil menunggu mereka. Kadang-kadang aku dapati muka dan badanku diliputi debu-debu. Akan tetapi aku masih juga mahu menunggu sehingga mereka bangun dan berazam untuk menemui mereka.


Sebilangan daripada mereka mengatakan:

“Abdullah, kamu merupakan sepupu Rasulullah SAW. Sepatutnya kamu berhak memanggil kami ke tempatmu, tetapi mengapakah engkau bersusah payah mendapatkan kami di sini?”

“Akulah yang sepatutnya menghampiri kalian semua ; kerana aku adalah seorang pelajar dan kamu semua adalah guru-guruku.”

“Sejak bilakah kamu telah menunggu kami?” soal mereka kepadaku.

Aku memberitahu bahawa aku menunggu mereka dalam jangka masa yang agak lama juga.

Mereka berkata kepadaku, “Sungguh kasihan! Sedangkan kamu boleh mengejutkan kami dari tidur.”

“Tidaklah aku suka menggangu kamu demi kepentingan diriku sendiri.”

Kemudian aku meneruskan pengajianku lagi sehingga tiba suatu masa di mana orang berduyun-duyun datang menemuiku untuk belajar daripadaku. Teman-temanku mulai menyedari pada ketika itu seraya berkata : “Sesungguhnya budak ini benar-benar membuktikan bahawa dirinya lebih pintar berbanding kita.”


Inilah keazaman yang dipamerkan oleh Abdullah bin Abbas sehingga menyebabkan dirinya dijolok dengan gelaran ‘Khibrul Ummat’ (Orang yang terpelajar dalam kalangan umat Islam) dan Bahrul Ulum (Lautan Ilmu) pada zaman beliau. Beliau menghembuskan nafas terakhirnya di Taif.


selamat hari raya aidilfitri maaf zahir dan batin diatas kekhilafan diri ini yang bergelar insan biasa yang sering melakukan kesalahan samada kesalahan zahir ataupun yang batin..

Monday, September 7, 2009

Nuzul Quran dan Lailatul Qadr


Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)

Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.


Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:

”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)



Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran


Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.

Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah SWT

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (al-Qadar:1-5)


Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.

Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.


Panduan

Dari maklumat serba sedikit di atas tadi sebenarnya banyak boleh dijadikan panduan kepada umat Islam seluruhnya. Antara panduan berkenaan ialah seperti:

1. Tidak ada perkara yang tidak terdapat dalam al-Quran

2. Ayat pertama diturunkan ialah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia melalui perantaraan Pena dan Tulisan.

3. Kelemahan umat Nabi Muhammad beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila kita mendapatkannya kita akan digandakan pahala melebihi seribu bulan.


Apabila disebutkan bahawa tidak ada perkara yang tidak terdapat di dalam al-Quran itu maka ianya memberikan makna bahawa segala ilmu pengetahuan yang merangkumi fardu ‘ain dan fardu kifayah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, sains dan teknologi dan lain-lain, segalanya terdapat dalam al-Quran. Tafsiran, kupasan analisa dan penyelidikan membolehkan umat Islam maju mendahului umat-umat lain di dunia ini.

Manakala penurunan al-Quran pula didahului dengan suatu kalimah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ di mana membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah mengiringi dengan ayat yang bermaksud; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” Keadaan ini menguatkan lagi bahawa pembacaan dan penulisan itu menjadi antara perkara yang paling penting dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana sebagaimana diketahui umum melalui satu ungkapan bahawa: “ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah kuasa”.

Perkara ketiga ialah hikmah dari anugerah malam al-qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman. Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83 tahun. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup kita dan usia kita dalam ibadah.

Mencari Malam Al-Qadar


Bagi mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai malam al-qadar, maka kalangan ulama ada menyatakan bahawa, malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam al-qadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah SAW pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah SAW. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan.

Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah SWT supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat. Dengan beribadah di sepuluh malam terakhir itu, mudah-mudahan akan dapat menemuinya sebagai bekalan kehidupan akhirat.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya marilah kita sama-sama menghayati nuzul al-Quran ini sebagai suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Kita seharusnya melihat al-Quran itu sebagai ‘kitab induk’ panduan Ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Memajukan manusia yang lebih penting adalah memajukan umat Islam terlebih dahulu melalui penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi. Membaca al-Quran itu adalah suatu ibadah.

Sekarang bolehlah kita panjangkan ‘membaca’ al-Quran itu kepada menganalisa, mengkaji, menyelidiki dan mencari rahsia ilmu pengetahuan di dalam al-Quran dan seterusnya menghasilkan penulisan-penulisan yang akhirnya memajukan dunia ini dan khasnya memajukan umat Islam dan seterusnya mengeluarkan umat Islam dari belenggu kelemahan dan penghinaan. Umat Islam juga perlu mempertingkatkan amal ibadah terutamanya mengejar anugerah Tuhan yang tidak terhingga kepada umat Islam akhir zaman. Beribadah di 10 akhir Ramadhan memberikan kita peluang keemasan ganjaran pahala seolah-olah beribadah sepanjang hidup kita iaitu 1000 bulan (sekitar 83 tahun).